Yang di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah bertitah menyeru rakyat Malaysia supaya tidak mudah terjebak dan terpengaruh dengan ideologi songsang yang boleh mengakibatkan kehancuran kepada negara serta tamadun dunia.Seri Paduka bertitah pergolakan yang berlaku di seluruh pelosok dunia dan serangan pengganas di beberapa negara seperti Belgium, Turki, Perancis dan Indonesia sejak kebelakangan ini menzahirkan kebimbangan di hati baginda.
Baginda bertitah serangan-serangan itu bukan sahaja menyebabkan kemusnahan harta benda, malah mengakibatkan banyak nyawa terkorban, termasuk orang awam dan rakyat yang tidak berdosa.
"Ini disebabkan angkara kumpulan-kumpulan pengganas dan munculnya kefahaman serta ideologi yang terlalu ekstrem dan taksub kepada kelompok sempit dan menyimpang jauh daripada ajaran Islam sebenar," titah baginda pada majlis menghadap dan istiadat pengurniaan darjah kebesaran, bintang dan pingat persekutuan bersempena sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Rasmi Yang di-Pertuan Agong di Istana Negara, di sini pada Sabtu.
Turut hadir Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan isteri Datin Seri Rosmah Mansor, tetamu kehormat dan duta-duta.Pada majlis hari ini, sebanyak 39 penerima darjah kebesaran, bintang dan pingat Persekutuan daripada keseluruhan 1,546 penerima, yang menerima pingat kebesaran masing-masing.
Tuanku Abdul Halim juga bertitah sambutan keputeraan rasminya hari ini adalah terakhir bagi pemerintahan kedua Baginda sebagai Yang di-Pertuan Agong, yang akan berakhir hujung tahun ini.Kali pertama Tuanku Abdul Halim menjadi Yang di-Pertuan Agong adalah dari 1970 hingga 1975.
Baginda turut bertitah: "Apa yang pasti masa berlalu begitu pantas. Beta bersyukur dalam tempoh pemerintahan, Beta diberi kesempatan dan kurnia Allah SWT melihat negara ini berkembang daripada satu fasa ke satu fasa".
Seri Paduka bertitah era pentadbiran Najib sebagai Perdana Menteri ternyata berjaya menongkah arus cabaran ekonomi global dan meletakkan namanya di peta antarabangsa dalam pelbagai pencapaian.
Tuanku Abdul Halim bertitah rakyat Malaysia berbilang kaum di negara ini perlu memanfaatkan segala kesempatan yang ada untuk lebih bergaul, mengenali dan memahami antara satu sama lain.
No comments:
Post a Comment